"MAJU KE HADAPAN SEMUA"


MARILAH KITA UMMAT MUHAMMAD,
UNTUK MAJU KE HADAPAN SEMUA,
MARI KITA BERSATU,
BANGKITKAN SERUAN AGAMA,
YANG KITA CINTAI INI....


SYUHADA PERJUANGANMU DIBERKATI ILAHI,
TERUSKAN MATLAMAT KITA,
MADRASAH ISLAMIAH TERCINTA.....




1 OKTOBER 2009 MASIHI....

MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING

Madrasah Islamiah Bandar Kuching,
Tingkat 3, Lot 3 & 4,
Bangunan Baitulmal, Jalan Haji
Taha, 93400, Kuching,
Sarawak, Malaysia.


e - mail : islamiahmadrasah@yahoo.com

: madrasahislamiah@gmail.com

Tel: 082 - 250432

facebook: madrasahislamiah@gmail.com

twitter: www.twitter.com/mibk


Flixster: www.flixster.com/user/madrasahislamiah

Weblog Lama: www.madarasahislamiah.blogspot.com

www.bkpmik.blogspot.com

Weblog Badan Kebajikan Pengawas Madrasah Islamiah Bandar Kuching:

www.badankebajikanpengawas.blogspot.com



Friday, March 5, 2010

Tunai solat, rezeki jadi berkat



Rezeki Kamariah Saad semakin bertambah sejak mengusahakan kedai makan yang diusahakan di Rawang, Selangor.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri bangun dan merubah apa yang ada pada diri mereka (ar-Ra'd: 11) benar-benar menjadi prinsip kepada Kamariah Saad, 48.

Beliau adalah model ibu tunggal yang tidak pernah menyerahkan dirinya kepada takdir. Bahkan dirinya diasuh sedari awal, bahawa untuk hidup maka usaha harus diiring doa dan tawakal.

Janji Allah itu maha benar, usaha yang gigih, pasti kejayaan yang ditagih, kelak juga diimbuh dengan kurniaan rezeki yang kadang kala tidak tertahan-tahan lagi datangnya, silih ganti bertimpa-tindih.

Berasal dari Pendang, Kedah, Kamariah sudi berkongsi kisah buat iktibar mereka yang susah. Maka Jejak Asnaf kali ini cuba menerobos ruang kehidupan silam yang pastinya berbalam dan semahu mungkin cuba untuk dilupakan.

"Saya kematian suami pada tahun 2002 dan pada ketika itu, saya sarat mengandung anak yang kelima," jelasnya.

Suami Kamariah meninggal dunia akibat serangan jantung, tanpa harta buat bergantung melainkan anak-anak yang harus dikendong.

"Sebenarnya, saya memang susah dari awal lagi. Perit sekali ustaz jika diingat-ingat. Dua puluh hari selepas arwah suami pergi, saya melahirkan anak kelima. Kala itu, saya di kampung menumpang rumah ibu.

"Mengenangkan diri yang serba amat kekurangan, tiada belanja kerana tidak punya wang dan pelbagai lagi masalah lain yang terus bertandang, emosi saya benar-benar terganggu.

"Anak-anak perlu diurus sedang bank sudah berkeras mahu menarik kereta. Sungguh, jika tiadalah bantuan daripada Allah, boleh jadi saya sudah gila agaknya," katanya sambil menyeka genangan air di tubir mata.

Enam bulan menumpang kasih dan simpati keluarga di kampung, Kamariah kembali ke Selangor. Anak-anaknya juga tidak betah di Kedah. Semasa itu, beliau hanya mengharap ehsan adiknya di Kampung Bendahara, Batu Caves.

Namun, usahanya terbatas lantaran arahan perubatan bahawa bekas pembedahan semasa bersalin menghalang dirinya bergerak cergas.

"Alhamdulillah, dalam keterbatasan itulah dengan bantuan seorang teman, saya diizinkan Allah SWT membeli sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang.

"Terima kasih juga, kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu membayarkan wang pendahuluannya," tambah beliau.

Menurut Kamariah, tanpa duga rezekinya tertulis di Rawang. Beliau mencuba nasib membuka meja menjual nasi lemak pada sebelah pagi. Nasi lemaknya laris, anggaran pendapatan bersihnya sebulan kira-kira RM1,000.

Dapatlah beliau memenuhi keperluan lima anaknya, yang kesemuanya masih perlu biaya besar khususnya demi mendapatkan pendidikan terbaik.

Kamariah mempunyai lima anak. Yang sulung, Mohd. Riduan, 19, kini belajar dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Shah Alam. Kedua, Anissafinas, 17, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Garing; ketiga Siti Nurazah, 14, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Ali dan menetap di Asrama Anak-anak Yatim Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Anak keempat dan kelima, Nur Asyikin, 12, dan Nur Atirah, 8, masih belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Rawang, Selangor.

Bercerita lanjut, menurut Kamariah, pada tahun 2008, namanya disenaraikan untuk menerima bantuan kewangan.

Ketika itu, majlis dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Selangor. Semasa berucap, beliau ada berkata bahawa salah satu amalan yang membuka pintu rezeki ialah solat dhuha.

"Apabila pulang, pesanan itu terngiang-ngiang di gegendang telinga saya. Saya jadi yakin dan semenjak dari hari itu sehinggalah kini, saya tidak pernah meninggalkan solat dhuha. Seboleh mungkin, saya akan menunaikannya.

"Alhamdulillah, benarlah ustaz bahawa solat dhuha memang membuka pintu rezeki. Ia terbukti apabila saya dapati, rezeki kami anak-beranak semakin melimpah-ruah," katanya.

Kamariah berkata, pernah pada bulan Ramadan tahun lalu, tidak semena-mena wakil sebuah bank datang ke rumah dan menyampaikan sumbangan RM500 untuk anak-anak.

"Saya juga memberanikan diri mengembangkan perniagaan. Kira-kira enam bulan sudah, saya membuka gerai makanan. Pada permulaannya memang agak perlahan sambutannya.

"Namun sekarang alhamdulillah, boleh dikatakan setiap hari habis lauk-pauk yang saya masak. Orang sudah ramai tahu dan mereka suka datang ke gerai saya," katanya gembira.

Kamariah kini menyewa gerai Majlis Perbandaran Selayang dengan sewa RM200 sebulan. Perniagaan makanannya semakin mendapat sambutan dan pendapatan bersihnya kian stabil apabila mampu melebihi RM2,000 sebulan.

Menceritakan pengalamannya berniaga, Kamariah juga pernah ditipu oleh kawan sendiri.

Hangus modal dan untungnya hampir RM10,000 apabila orang tengah yang menerima bayaran pembekalan makanan ke sebuah kilang menghilangkan diri.

"Namun saya yakin ustaz, Allah SWT melindungi saya kerana saya tidak pernah tinggal solat sejak dari akil baligh. Bahkan, saya selalu mengamalkan surah-surah yang dianjurkan, misalnya al-Mulk dan al-Waqi'ah. Ditambah dengan amalan solat dhuha, maka saya dapat rasakan kesannya.

"Pernah saya mengabaikan amalan berkenaan, maka keesokan harinya saya dapat perhatikan gerai saya akan kekurangan pengunjung. Lalu saya amalkan kembali, solat dhuha dan membaca al-Quran.

"Alhamdulillah keesokannya rezeki saya kembali kencang. Ia menambahkan keyakinan saya, bahawa jika kita menjaga amalan, menjaga hubungan dengan Allah, tidak mengabaikan solat, maka rezeki pun jadi berkat," jelasnya.

Kamariah mula menerima bantuan daripada LZS (MAIS) pada tahun 2003. Beliau diberi bantuan menyambut Ramadan dan Hari Raya juga bantuan pendidikan untuk anak-anak.

Setelah berpindah ke Rawang, di samping membantu melunasi pendahuluan rumahnya, LZS (MAIS) turut memberikan beliau bantuan kewangan bulanan dan modal perniagaan.

"Saya amat berterima kasih kepada LZS. Jujur saya nyatakan, tidak pernah walaupun sekali saya meminta bantuan kepada orang lain, khususnya mereka yang dekat dengan saya. Semuanya bekat adanya LZS, maka LZS-lah tempat saya mengadu, tempat saya mendapatkan bantuan khususnya kewangan," katanya.

Kini, Kamariah sekeluarga sudah boleh menarik nafas lega. Rezekinya makin melimpah dan anak-anaknya tidak lagi pernah merasa susah.

Kepada semua pembayar zakat, beliau mengalungkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga, justeru zakat itulah yang menyangga beliau sehingga berjaya.

Kepada para ibu tunggal pula, pesanannya mudah sahaja, iaitu jagalah hubungan dengan Allah. Hubungan yang baik dengan Allah, rezeki pun menjadi mudah.

"Insya-Allah, saya akan mengeluarkan zakat pendapatan saya tidak lama lagi. Iyalah, rezeki pun sudah banyak, maka sudah tibalah saatnya saya pula menunaikan amalan wajib, sebagai tanda syukur saya kepada Allah," ujar beliau.

Untuk tempahan makanan, Kamariah Saad boleh dihubungi di Selera Utara, No. 20, Gerai MPS, Rawang Intergrated, 48000 Rawang, Selangor atau menghubungi beliau di talian 016-365 3806.

MOHD. REDZUAN ABDULLAH IALAH MANTAN KETUA PELAJAR MADRASAH ISLAMIAH SESI 2006 HINGGA 2007.













Nabi Ibrahim meninggalkan Babylon


Penduduk Palestin yang menyembah bintang tercengang-cengang dengan hujah nabi Ibrahim. - Gambar hiasan


RAJA Namrud berasa amat khuatir dan risau dengan kedudukan dan kekuasaannya. Dia risau peranannya sebagai penguasa negeri Babylon akan terancam. Walau bagaimanapun, Raja Namrud tidak menunjukkan kebencian kepada Nabi Ibrahim.

Dia sedar Nabi Ibrahim merupakan seorang yang cerdik dan pintar ketika berhujah dengannya. Kini dia berasakan bukan senang untuk mengalahkan Nabi Ibrahim. Dia perlu bijak mengatur strategi supaya tindakannya tidak diketahui oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud masih membiarkan Nabi Ibrahim tinggal dalam negerinya dengan bebas. Tidak ada sedikit pun ditunjukkan tanda-tanda untuk mengusir Nabi Ibrahim. Kini Nabi Ibrahim masih mampu menyampaikan dakwahnya sesuka hati tanpa diganggu oleh sesiapa.

Namun begitu, dalam diam-diam Raja Namrud mengatur pelbagai rancangan untuk memusnahkan dakwah yang disebarkan oleh Nabi Ibrahim. Dia mula mengintip setiap pergerakan Nabi Ibrahim.

Dia tidak mahu semua rakyatnya terpengaruh dengan ajaran baru yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan meninggalkan ketaatan terhadapnya. Dia takut akan ditumpaskan.

Raja Namrud mula berasakan dia perlu mengambil langkah yang bijak jika ingin mengusir Nabi Ibrahim. Setiap langkah perlulah dijalankan dengan teliti agar tidak memberi kesan yang buruk terhadap kekuasaannya selama ini. Jika tersalah langkah pastinya akan membawa kesan yang buruk terhadap dirinya sendiri.

Oleh sebab itu, Raja Namrud tidak mahu menggunakan kekerasan ketika berhadapan dengan Nabi Ibrahim. Dia mahu menyingkirkan Nabi Ibrahim dengan cara yang bijaksana dan teliti.

Tindakan Raja Namrud sedikit sebanyak telah dapat dihidu oleh Nabi Ibrahim. Baginda mula berasa curiga dengan layanan dan kebebasan yang diberikan oleh Raja Namrud kepadanya selama ini. Segala gerakgerinya kini sentiasa mendapat perhatian pihak berkuasa.

Nabi Ibrahim juga sedar Raja Namrud sedang menunggu peluang yang baik untuk menyingkirkannya dari negeri itu. Raja Namrud bukan sahaja akan menyingkirkan Nabi Ibrahim, malah akan membunuhnya dengan kejam kerana menyampaikan dakwah yang bertentangan dengan anutan rakyatnya.

Setelah beberapa ketika berada di Babylon, Nabi Ibrahim berasa perbuatannya tidak membawa apa-apa manfaat kepada agama dan dirinya sendiri. Walaupun Babylon mempunyai penduduk yang ramai, namun mereka masih kuat berpegang teguh kepada agama anutan nenek moyang.

Nabi Ibrahim berasa dakwah yang disampaikan olehnya selama ini sia-sia sahaja. Kebanyakan hati penduduk Babylon telah tertutup rapat untuk menerima sesuatu yang baru.

Demi mengembangkan dakwah dan ajaran yang dibawanya itu, Nabi Ibrahim pun mengambil keputusan untuk keluar dari negeri berkenaan. Baginda benar-benar berharap agar bertemu dengan penduduk yang sanggup menerima ajaran yang dibawanya.

Baginda juga sentiasa berdoa kepada Allah agar ajaran yang dibawanya itu akan mendapat perhatian dan diterima oleh penduduk setempat.
























Cara mengatasi was-was

SOALAN:

1) Saya mengalami masalah was-was yang teruk. Ia selalu berlaku jika saya hendak berwuduk dan solat.

Ketika berwuduk, saya selalu was-was ketika hendak membasuh muka. Ketika saya menadah air, saya merasakan bahawa air dari muka saya menitik masuk ke dalam tangan.

Saya terpaksa buang air tersebut dan menadah air baru sehingga beberapa kali sampai saya yakin. Hal ini membuatkan saya selalu mengambil masa yang lama untuk berwuduk iaitu kira-kira 10 minit.

Demikian juga semasa hendak solat. Ia berlaku semasa hendak berniat menyebabkan saya terpaksa menyebut niat dengan mulut dan bukannya dalam hati. Sudah bermacam-macam cara saya lakukan termasuk membaca isti'azah, surah an-nas namun tetap was-was. Bagaimana mengatasi masalah ini?

JAWAPAN:

Ustaz turut bersimpati dengan masalah was-was adik. Kedengaran ia sangat memeritkan hidup adik selama ini. Masalah ini bukan dihadapi oleh adik seorang.

Terdapat ramai lagi yang menghadapi masalah ini. Bahkan daripada kalangan bukan Islam dan pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan agama.

Ia kadang-kala dikaitkan dengan masalah psikologi yang dinamakan obsessive-compulsive disorder (OCD).

Menurut perspektif Islam, memanglah situasi yang adik gambarkan dinamakan was-was (dalam bahasa Arab - waswasah pl. wasaawis) iaitu bisikan yang tidak diundang dalam jiwa dan pemikiran oleh syaitan.

Al-Quran telah menerangkan kepada kita yang ia telah bermula dari hari-hari pertama Adam hidup di syurga lagi - firman Allah, surah al-A'raaf, ayat 20: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua (agar) mendedahkan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).

Begitu juga dalam surah Taha, ayat 120: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang membolehkan kau hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?

Allah mengajar kita manusia agar memohon perlindungan-Nya agar terpelihara daripada mudarat teknik hasutan bisikan syaitan ini dalam surah al-A'raaf, ayat 200: Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Di penghujung al-Quran dalam surah al-Naas, kita diajar dengan lebih terperinci bagaimana melindungi diri daripada was-was dengan membacanya dengan penuh penghayatan terhadap maksud setiap ayat dalam surah yang pendek tetapi besar fungsinya kepada kita dalam memerangi was-was secara kognitif:

(1) Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Tuan Empunya sekalian manusia."

(2) "Raja segala raja yang Menguasai sekalian manusia".

(3) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia

(4) "Dari kejahatan pembisik hasutan yang tenggelam timbul".

(5) "Yang menyuntik bisikan hasutannya ke dalam hati manusia".

(6) (Iaitu pembisik hasutan) dari kalangan jin dan manusia". (an-Naas: 1-6)

Alhamdulillah, adik telah berjaya mengesan masalah adik dan telah cuba berusaha dengan inisiatif sendiri mengatasinya. Kemudian diteruskan melalui bantuan kawan-kawan.

Malahan adik masih berinisiatif untuk mencari jalan keluar masalah adik dengan bertanya kepada ustaz. Itu tandanya Allah masih sayangkan adik sebab itu Dia tetap Memberi Hidayah-Nya kepada adik.

Surah al-Naas

Sekarang ustaz nak adik cuba kawal tumpuan aliran pemikiran adik. Cuba sedikit demi sedikit secara berperingkat. Kemudian, adik cuba semula cara kawan adik dengan membaca surah al-Naas dan isti'azah tetapi dengan menghayati, menyebatikan dan menjadikan maksudnya berpasak sekukuh-kukuhnya di minda adik.

Bacalah bersama surah al-Falaq dan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali selepas setiap solat. Adik mesti yakin Allah SWT sedang memerhati adik dan Maha Mendengar keluhan penderitaan adik yang memohon-Nya melindungi adik daripada gangguan was-was tersebut.

Daripada luahan hati adik mengenai masalah ini, ustaz juga dapati adik sentiasa sedar apabila ia berlaku dan hati adik tidak suka masalah ini berterusan seakan di bawah kawalan sesuatu, betul tak?

Oleh itu, ustaz mahu adik sentiasa memantau aktiviti dalaman minda dan jiwa adik terutamanya apabila bisikan-bisikan yang membawa kepada was-was muncul. Apabila ia datang, cuba labelkan bahawa ia bukan daripada diri adik tetapi bisikan syaitan dan syaitan itu musuh manusia yang nyata.

Oleh kerana ia musuh adik, pastinya ia bertujuan memusnahkan adik. Oleh itu, adik mesti mengawal diri dan minda adik agar tidak dapat ditakluk oleh kuasa syaitan dengan memohon perlindungan Allah SWT daripada mudarat yang mungkin diakibatkan oleh syaitan - itu pun dengan izin Allah.

Kemudian, cuba ubah aliran tumpuan fikiran adik daripada menyedari kemunculan bisikan-bisikan ini kepada memberi sepenuh tumpuan kepada wuduk atau solat adik. Cuba jangan pedulikan bisikan was-was yang muncul.

Cuba bayangkan ia seumpama sesuatu imej, pangkahkan untuk menutup skrin imej itu seperti adik menutup skrin halaman sesawang. Hilang. Beritahu diri adik ia sesuatu yang tidak penting langsung untuk diberi perhatian atau disedari kemunculannya.

Wuduk dan solat yang ingin adik persembahkan yang terbaik kepada Allah adalah lebih penting.

Adik juga boleh melakukan terapi kepada diri sendiri. Contohnya bagi diri adik masa selama seminggu. Cuba berwuduk atau bersolat pada waktu lapang.

Apabila bisikan was-was itu muncul cuba kawal diri adik daripada mengulang-ulang mana-mana bahagian wuduk atau solat. Hari pertama mungkin daripada kebiasaannya adik berwuduk sampai 10 minit, adik pastikan dapat kurangkan sehingga sekurang-kurangnya seminit, jadi sembilan minit. Begitulah sampai hari ketujuh, mungkin sudah mencapai tahap normal tiga hingga lima minit. Begitu juga ketika berniat solat.

Terapi ini biasanya sangat berkesan dan akan menghentikan masalah yang adik hadapi sekarang secara beransur-ansur. Insya-Allah.

Ustaz dapati rasa was-was ini dicetuskan daripada rasa bersalah (guilt) adik. Seakan-akan minda adik dihantui ketakutan kemungkinan adik akan melakukan kesalahan dalam setiap perbuatan adik ketika berwuduk dan dalam solat.

Perasaan bersalah dan takut ini bagus tetapi perlulah diimbangi dengan rasa yakin diri dan mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengasihani, Islam datang bukan untuk menyusahkan sehingga adik rasa tertekan setiap kali hendak solat sedangkan ia tiang agama yang menjadi kewajipan utama seperti yang terdapat dalam al-Quran.

Al-Quran juga tidak diturunkan untuk membuat kita tertekan, firman Allah dalam surah Taha ayat 2: Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) untuk menyusahkanmu.

Sedangkan Allah berfirman kepada orang-orang yang melampaui batas (melakukan maksiat) agar jangan berputus asa daripada rahmat Allah:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar: 53)

Mesti Allah lagi Maha Mengasihani terhadap adik yang ingin mempersembahkan solat yang terbaik kepada-Nya. Jadi, adik tak perlu terlalu risau, tertekan terlalu obses tidak mahu buat silap ketika berwuduk atau solat.

Yakin dengan diri adik yang adik buat itu sudah betul sekadar yang adik termampu sebagai seorang manusia. Hanya Allah sahaja yang Maha Sempurna.

Tentang was-was yang menyerang akar-umbi akidah adik sehingga meragukan adik terhadap kewujudan Allah pula, perkara ini ada disebut dalam hadis: Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda: Syaitan akan mendatangi seseorang daripada kamu lalu berkata: Siapa yang mencipta ini dan itu? Sehingga sampai satu peringkat ia menyoal: Siapa pula yang mencipta Allah? Apabila hal seumpama ini terjadi, maka mohonlah perlindungan dengan Allah (isti'aazah) dan hentikanlah (mindamu daripada menerawang berterusan mencari jawapan kepada soalan bisikan syaitan itu). (riwayat al-Bukhari)

Pedoman Hadis

Manakala hadis yang sama dalam riwayat Muslim terdapat tambahan: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. (Aamantu billahi wa rasulihi).

Cubalah ikut pedoman hadis ini apabila adik menghadapi masalah itu lagi. Insya-Allah, berkat yakin beramal dengan hadis Nabi SAW, semua masalah was-was adik akan beransur-ansur hilang kelak.

Beritahulah kepada ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan adik tentang masalah adik ini sambil meminta mereka memberi sokongan moral kepada adik sepanjang berjuang membebaskan diri adik daripada dijajahi was-was. Mereka mungkin boleh membantu adik contohnya memantau semasa adik berwuduk dan bersolat.

Pada masa yang sama banyakkan membaca al-Quran terutamanya surah al-Baqarah serta ayat al-Kursi jika adik mampu, banyakkan lagi bersabar dan teruskan berdoa memohon kepada Allah SWT agar masalah adik ini segera selesai. Amin.

Jika keadaan bertambah teruk, adik perlulah mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor atau ahli psikologi yang terlatih untuk mengatasi masalah ini kerana kadang-kadang ia ada kaitan dengan faktor genetik atau aktiviti-aktiviti tertentu otak atau masalah peribadi yang adik hadapi dalam kehidupan sehari-hari seperti perasaan terlalu merendah diri dan mengutuk diri - "saya bodoh, jahil dan sebagainya".

Biasanya ia berpunca daripada peristiwa tertentu pada masa lalu yang memberi kesan yang sangat mendalam dalam diri adik. Begitu juga sumber informasi yang salah seperti rasa takut (khawf) kepada Allah yang tidak disertakan dengan informasi ia perlu diimbangi dengan rasa harap (rajaa') kepada Allah.

Kesimpulannya, cubalah menambah ilmu pengetahuan dengan belajar atau melalui pembacaan terutamanya buku-buku agama.

















Syura dalam organisasi Islam


Menghormati pandangan orang lain dalam mesyuarat adalah dituntut dalam agama kerana ia mampu membawa hasil yang baik kepada sesuatu organisasi.


BERBEZA pandangan di antara satu sama lain adalah lumrah manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.

(Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Namun, jika perbezaan pandangan ini tidak diuruskan dan diselesaikan dengan baik, maka ia akan mewujudkan konflik yang akhirnya sukar untuk diselesaikan. Di sinilah bermulanya kepentingan untuk melaksanakan syura.

Syura adalah proses perbincangan dan perundingan untuk mengeluarkan keputusan atau untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia adalah merupakan sebuah medan untuk mewujudkan kesatuan pemikiran (wehdatul fikr) yang akan menjurus kepada kesatuan amal (wehdatul amal).

Pandangan-pandangan yang pelbagai ini perlu digarap dan diharmonikan untuk mengeluarkan satu keputusan yang benar-benar matang demi kepentingan bersama.

Perspektif

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).(al-Hujurat: 13)

Ayat al-Quran tersebut menggambarkan kepada kita betapa manusia ini secara fitrahnya berbeza dari segi agama, bangsa, latarbelakang keluarga, pendidikan, skop kerja, tanggungjawab, kepentingan dan sebagainya.

Kepelbagaian inilah yang akhirnya mewujudkan perbezaan cara pemikiran, tingkah-laku dan pembawaan. Wujudnya perbezaan pandangan kerana mereka melihat dari sudut ruang lingkup dan perspektif masing-masing.

Oleh itu, mereka yang terlibat dengan syura perlu mempunyai sahsiah yang terbaik demi menerapkan roh syura dalam menyelesaikan kepelbagaian dan ketidaksatuan pandangan tersebut. Antara akhlak dan disiplin dalam mesyuarat adalah:

lPositif kepada orang lain. Individu yang menyertai atau terlibat dalam mesyuarat perlu menganggap ahli-ahli mesyuarat yang lain sebagai sahabat, bukan musuh. Jika dia menganggap orang lain sebagai musuh, maka timbullah sikap negatif terhadap mereka. Setiap pandangan orang lain akan cuba disangkal walaupun ia sebenarnya tepat. Dalam sesi mesyuarat, dia akan sibuk mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Setiap kali dia bercakap, diungkit-ungkit kesalahan orang lain, bukannya mencari penyelesaian terhadap masalah yang berlaku. Lalu masa terbuang begitu sahaja.Mesyuarat berakhir tanpa sebarang keputusan. Hasil yang ada hanya iri hati, cemburu, api kebencian dan permusuhan.

lFokus kepada matlamat mesyuarat dengan mengkaji dan membuat analisis tentang isu yang akan dibincangkan. Semasa bermesyuarat, dia perlu memberi penerangan atau taklimat kepada anggota-anggota mesyuarat yang lain untuk memastikan mereka faham terlebih dahulu matlamat dan objektif mesyuarat tersebut. Dia juga perlu mengawal skop perbincangan agar tidak lari dari matlamat asal. Individu yang mengendalikan mesyuarat sangat berperanan memastikan mesyuarat menjadi medan yang berkesan. Dia perlu membuat persediaan sebelum memulakan sesuatu mesyuarat. Antaranya, beri ruang kepada semua pihak mengutarakan pandangannya. Seterusnya, mengharmonikan jurang-jurang perbezaan yang ada agar dapat menjaga kepentingan semua pihak. Anggota jawatankuasa atau ahli mesyuarat juga perlu mempunyai akhlak dan disiplin agar perjalanan proses mengeluarkan keputusan itu lancar. Sekiranya ruang tidak dibuka seluas-luasnya untuk bersuara, pastinya ada orang yang keluar dari bilik mesyuarat dengan perasaan tidak puas hati.Mereka juga mesti berlapang dada menerima pandangan dan teguran pihak lain. Jangan merasa tercabar seolah-olah maruahnya dipijak-pijak apabila pandangan ditolak oleh ahli mesyuarat. Tidak perlu untuk merasa hina dan melenting ketika pihak lain mempunyai pandangan kedua. Firman Allah SWT yang bermaksud:Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46)Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam soal ini. Baginda mempamerkan sikap kepimpinan yang ideal dalam menegakkan prinsip syura ini. Walaupun Baginda adalah seorang rasul yang pastinya dibimbing oleh Allah SWT, tetapi masih memberi ruang kepada sahabat-sahabat untuk mengemukakan pandangan.Tidak ada halangan bagi mereka untuk terlibat sama dalam proses mengeluarkan keputusan kerana keputusan tersebut akan dilaksanakan untuk kepentingan bersama. Dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW menerima pandangan Hubab r.a mengenai tempat pertempuran. Hubab r.a mencadangkan untuk tentera Islam menduduki tempat yang paling dekat dengan air kerana ia sangat penting bagi tentera dan haiwan tunggangan mereka. Dalam perang Khandak pula, Rasulullah SAW bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi yang berketurunan Parsi untuk menggali parit bagi berhadapan dengan tentera Ahzab. Strategi ini membantu pasukan tentera Islam berjaya dalam semua peperangan dengan pihak musuh. Demikianlah antara episod-episod betapa Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang terbaik dalam memimpin sesebuah organisasi. Iaitu mengambil dan menerima pandangan sahabat-sahabat.

lMerendah diri, jangan ego dan sombong. Sekiranya Rasulullah SAW boleh menerima pandangan sedangkan baginda adalah merupakan penghulu kepada rasul, nabi dan umat manusia, maka mengapa kita terlalu ego dan sombong untuk sekurang-kurangnya mendengar pandangan orang lain? Di sini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan dan kedudukan yang dipegang, setinggi mana pun ia, tidak boleh menjadikan individu tersebut kebal dengan sebarang teguran dan pandangan. Lebih-lebih lagi kita adalah manusia yang tidak maksum. Memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat yang lain untuk menampung segala kekurangan.Jikalau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, maka adalah lebih baik menggunakan bangkangan yang paling lembut dan berhikmah. Kenapa perlu bertelingkah, sedangkan kita mempunyai pilihan untuk bermesyuarat dalam suasana yang cukup harmoni, aman dan penuh ukhuwah. Jangan memperkecil dan meremehkan pandangan orang lain disebabkan kedudukannya lebih rendah daripada kita. Ingat, Allah SWT yang menggerakkan fikiran seseorang itu untuk mengeluarkan buah fikiran, tidak kira tinggi atau rendah pangkatnya. Hayati firman Allah dalam surat al-Hujuraat ayat 11. Ahli mesyuarat juga perlu mengelak daripada membangkitkan isu-isu yang menyentuh perkara sensitif dan terlalu peribadi yang akhirnya menimbulkan permusuhan di kalangan anggota. Bahkan, mencetuskan dendam kesumat yang tidak akan padam.

lJauhi prasangka buruk kerana prasangka buruk ini tidak akan berlaku kecuali apabila kita mempunyai pemikiran yang negatif. Cuba mulakan segalanya dengan positif terlebih dahulu. Mendengar idea yang dikemukakan oleh orang lain memerlukan penilaian secara positif terlebih dahulu. Sekiranya kita mempunyai tanggapan yang negatif, maka kita akan cenderung untuk menolaknya walaupun sebenarnya ia mempunyai kebaikan untuk organisasi. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat, ayat 12.Sebenarnya, konsep syura bukan hanya berlaku semasa waktu mesyuarat sahaja, tetapi ia juga perlu diaplikasikan dalam rutin kehidupan harian di tempat kerja atau di rumah.Bayangkan seorang suami mengaplikasikan konsep syura dalam rumahtangganya. Tentulah akan mewujudkan suasana yang cukup bahagia dan tenteram. Begitu juga sebuah institusi yang mempunyai masalah dan konflik dalaman yang begitu parah. Ia tidak akan dapat diselesaikan melainkan dengan aplikasi semangat syura. Kita melaksanakan syura bukan kerana memenuhi prosedur syarikat atau organisasi semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu adalah disebabkan perintah dan arahan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:...Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. (asy-Syura: 38)



DATIN USTAZAH HJH ROHANI HJ AWI IALAH MUDIRAH(PENGETUA) MADRASAH ISLAMIAH.













Masjid bawa Lucy peluk Islam


Lucy Bushill Matthews kini tenang meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim.


HATINYA begitu tertarik kepada Islam apabila penganutnya kelihatan begitu santun dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Tetapi apabila dirinya memeluk Islam atau lebih tepat menjadi mualaf di sebuah negara majoritinya bukan Islam tentunya menjadi satu kehidupan yang sangat sukar untuk dilalui. Segala-galanya memerlukan kesabaran yang lebih.

Kerana itu jika tidak kuat menghadapinya maka Islam itu akhirnya menerima cemuhan pelbagai pihak. Sebaliknya, jika segalanya berjaya dilalui dengan ketabahan dan kesabaran dengan sendirinya cahaya Islam akan senantiasa menyinari disetiap sanubari.

Inilah situasinya yang dilalui oleh seorang wanita Inggeris, Lucy Bushill Matthews sejak memeluk Islam 16 tahun lalu.

Dalam buku Welcome To Islam, ibu kepada tiga anak itu mengisahkan liku-liku perjalanan hidupnya untuk menemui Islam.

Segala-galanya bermula pada usia 16 tahun, apabila orang tua Lucy mula menghantarnya ke sebuah sekolah berasrama, yang para pelajarnya terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Saat itu juga Lucy berkenalan dengan seorang pemuda, Julian, seorang Muslim berdarah campuran Inggeris dan Iran.

Jika dilihat dari aspek fizikalnya, Julian mungkin tidak ada bezanya dengan pemuda-pemuda Inggeris yang lainnya.

Namun Lucy mendapati Julian ternyata berbeza, yang membuatkan hati perempuannya benar-benar tertarik.

Lebih-lebih lagi Julian tidak pernah mengambil minuman beralkohol bahkan segelas air anggur pun tidak diteguknya.

Kebiasaan Julian itu tentu sahaja sangat berbeza dengan begitu aneh sebenarnya berbanding remaja-remaja lain yang kebiasaannya akan menghabiskan masa terluang dengan minum arak sehingga mabuk.

Lucy menganggap Julian seorang yang tidak wajar apabila tidak pernah minum arak namun Lucy ingin mengetahui dari mulut Julian mengapa, sikapnya itu cukup berbeza.

Lantas Lucy segera menemui Julian bagi mendapatkan jawapan.

Lalu Julian menerangkan kepada Lucy akan pegangan agama Islamnya yang tidak memungkinkan seluruh penganut agama itu menyentuh arak atas segala macam sebab dan musabab.

Ini termasuk kesan buruknya yang menyebabkan seseorang itu boleh hilang kewarasan akal dan tindak tanduknya.

"Apabila sudah tidak waras, Lucy pasti tahu apakah perlakuan-perlakuan buruk yang timbul menyebabkan hidup tidak lagi aman dan harmoni," kata Julian.

Islam? Inilah kata kunci kepada Lucy yang membawanya untuk terus mengenali Islam yang selama ini beliau menganggap Islam adalah agama yang biasa, sama seperti agama-agama yang lain yang wujud di dunia ini.

Lalu Lucy menghabiskan banyak masa lapangnya membaca apa sahaja mengenai Islam. Sehinggalah pada suatu Lucy tertarik dan berani untuk menjejakkan kakinya ke sebuah masjid berdekatan Regent's Park London.

Lucy dibawa melawat ke seluruh masjid tersebut dan di akhir kunjungan, beliau diberikan sebuah buku What Everyone Should Know About Islam and Muslim.

Menurut Lucy, buku itu mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai Islam yang selama ini begitu berkecamuk dalam hati dan fikirannya.

"Yang membuatkan saya benar-benar tertarik sebelum saya meninggalkan masjid itu apabila saya melihatkan ruang atau tempat berdoa (dewan sembahyang) dalam masjid itu.

"Tidak ada sebarang perabot. Kecuali yang ada hanyalah hamparan permaidani dari tembok ke tembok dan beberapa orang sedang membaca doa sambil menadahkan tangan dalam keadaan yang begitu tenang dan sunyi.

"Saya melihat mereka memberi tumpuan dan begitu mengharap memanjatkan doa," kata Lucy.

Ini membawakan Lucy menyertai kumpulan mahasiswa-mahasiswa Muslim ketika beliau mula melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge walaupun beliau belum lagi memeluk Islam ketika itu.

Ini semata-mata untuk memantapkan lagi minatnya terhadap Islam.

Apabila bercakap mengenai ibadat dalam Islam, Lucy mengakui bahawa kesemua jenis ibadat agama itu dapat diterima dek akal.

"Ikrar keimanan (lafaz kalimah syahadah) harus diucapkan berulang kali, solat lima waktu, berpuasa sebulan sekali dalam setahun, menyumbangkan harta (zakat) dan beribadat di Mekah sekali seumur hidup.

"Namun yang menariknya, umat Islam boleh beribadat lebih dari semua itu, terutamanya adanya amalan-amalan ibadat yang sunat tanpa mengurangi yang wajib atau ibadat yang pokok itu," katanya.

Akhirnya pada November 1991, secara rasmi Lucy meninggalkan Kristian untuk menganut Islam yang telah dipercayai, dipelajari dan tentu sekali dengan seribu satu hidayah dari Allah yang membuka hati sepenuhnya kepada Islam.

Berita pengislaman Lucy itu diterima dengan pelbagai reaksi oleh warga kampus namun yang penting, keluarganya menerima perubahan yang dialami oleh Lucy itu.

Kecuali si ibu yang begitu terkejut tetapi perlahan-lahan mampu menerima apabila si anak tidak mengurangkan sedikitpun kasih sayang dan perhatian terhadap dirinya.

Sementara bapa Lucy menganggap puterinya itu sedang mengalami fasa-fasa baru dalam kehidupan dan kakaknya sendiri, iaitu Julie memberikan sokongan dan bersikap positif terhadap keputusan Lucy untuk menjadi Muslim.

Apa pun cabaran selepas memeluk Islam, Lucy mampu hadapi dengan tabah kerana beliau telah melewati cabaran yang lebih getir yang lazimnya sering dialami oleh saudara-saudara baru yang lain, iaitu tentangan pihak keluarga.

Malah mungkin lebih sukar sekarang bagi Lucy untuk mendapatkan makanan yang halal, ruang untuk beribadat dan sehinggalah membalas pandangan bukan Islam yang cukup hairan melihat seorang wanita Inggeris yang menutup aurat dan memakai tudung.

Begitu pun kerana kuatnya kepercayaan Lucy bahawa Tuhan itu ada, lalu sering menyandarkan bahawa Allah sentiasa berada di sisinya dan pasti akan membantu mana-mana hamba-Nya yang memerlukan bantuan.

"Semakin kuat saya mempercayai kewujudan tuhan, semakin kuat saya merasakan bahawa Allah ada di sisi saya lebih-lebih lagi Allah pasti tahu bahawa saya kini merupakan golongan yang minoriti dalam masyarakat saya sendiri sedangkan dahulunya saya adalah majoriti," ujarnya




HAMIDAH BTE KASSIM IALAH PENOLONG SETIAUSAHA PELAJAR MADRASAH ISLAMIAH.

No comments:

Post a Comment