"MAJU KE HADAPAN SEMUA"


MARILAH KITA UMMAT MUHAMMAD,
UNTUK MAJU KE HADAPAN SEMUA,
MARI KITA BERSATU,
BANGKITKAN SERUAN AGAMA,
YANG KITA CINTAI INI....


SYUHADA PERJUANGANMU DIBERKATI ILAHI,
TERUSKAN MATLAMAT KITA,
MADRASAH ISLAMIAH TERCINTA.....




1 OKTOBER 2009 MASIHI....

MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING

Madrasah Islamiah Bandar Kuching,
Tingkat 3, Lot 3 & 4,
Bangunan Baitulmal, Jalan Haji
Taha, 93400, Kuching,
Sarawak, Malaysia.


e - mail : islamiahmadrasah@yahoo.com

: madrasahislamiah@gmail.com

Tel: 082 - 250432

facebook: madrasahislamiah@gmail.com

twitter: www.twitter.com/mibk


Flixster: www.flixster.com/user/madrasahislamiah

Weblog Lama: www.madarasahislamiah.blogspot.com

www.bkpmik.blogspot.com

Weblog Badan Kebajikan Pengawas Madrasah Islamiah Bandar Kuching:

www.badankebajikanpengawas.blogspot.com



Tuesday, December 29, 2009

SELAMAT TINGGAL 2009

KEPADA SEMUA SAHABAT DAN RAKAN TAULAN YANG MELIHAT ATAU MENGUNJUNGI BLOG INI, PENULIS TIDAK AKAN LAGI MENAMBAH ARTIKELNYA, DAN ARTIKEL - ARTIKEL DI BAWAH MERUPAKAN ARTIKEL - ARTIKEL YANG TERAKHIR PENULIS PADA TAHUN 2009 MASIHI. INSYA - ALLAH, TAHUN HADAPAN KITA AKAN BERJUMPA LAGI. PENULISAN BERHENTI SETAKAT INI SAHAJA.


ARTIKEL - ARTIKEL BARU AKAN DITAMBAH PADA 5 JANUARI 2010.





SELAMAT TAHUN BARU 2010

MESEJ AKHIR TAHUN

Tanggal 30 Disember 2009, tidak lama lagi kita akan melalui tahun baru 2010. Kita semua akan meninggalkan tahun 2009, anggaplah apa yang ada pada tahun 2009 ini, kita jadikannya iktibar, pengajaran dan kenangan bagi kita buat selama - lamanya.


Tahun 2009 kian meninggalkan kita, tiba masa kita akan meninggalkan tahun 2009, 2009 akan tinggal kenangan dan angka sahaja, ianya tidak akankembali.


Selamat tinggal tahun 2009, yang tinggal hanyalah kenangan, selamat datang 2010, semoga Allah akan merahmati kita semua pada tahun akan datang, Insya - Allah.


Berazamlah dengan azam dan semangat tahun baru, belajar dan berazamlah agar menjadi pelajar yang terbaik yang berkhidmat dengan gurunya dengan niat kerana Allah Subhanah Wa Taala.


SEMOGA BERJUMPA LAGI PADA TAHUN 2010.



Hj Haziq Ahmad Zaki Al - Wasli

(KETUA BIRO DAKWAH MADRASAH ISLAMIAH)

JEMPUTAN KE MAJLIS ULANGTAHUN KE 30 SUMPAH BUDAYAWAN DAN SENIMAN MUDA SEDAR SARAWAK.

TEMPAT: DEWAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGERI SARAWAN(BANGUNAN DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG LAMA), PETRA JAYA, KUCHING.

TARIKH: 31 DISEMBER 2009

HARI: KHAMIS.

AKTIVITI:


- Seminar Sumpah Budayawan dan Seniman Muda Sedar Sarawak pada pukul 8.00 pagi

- Pertandingan berkaraoke lelaki dan wanita

- Pertandingan melukis untuk pelajar - pelajar sekolah menengah

- Pertandingan mewarna untuk pelajar - pelajar sekolah rendah

- Jemaah Solat Maghrib dan Isyak pada malamnya

- Penentasan teater

- Penentasan Bangsawan

- Bacaan Sajak dan Syair oleh tokoh - tokoh sasterawan dan karyawan negeri Sarawak.

Monday, December 21, 2009

PERUTUSAN DARI KETUA BIRO DAKWAH TENTANG MAAL HIJRAH.

Dengan Lafaz Bismillahirrahmannirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia kepada anda semua khususnya warga Madrasah Islamiah Bandar Kuching(MIBK).


Kepada anda semua, apa khabar yang ada di luar sana, semoga sihat selalu.


Semoga Allah sentiasa memberi perlindungan kepada anda semua.


Warkah dan perutusan khas ini adalah ditulis oleh saya sendiri yang mewakili Yang Berbahagia Mudirah kami, iaitu Datin Ustazah Hjh Rohani bte Hj Awi.


Beliau tidak dapat menulis sebarang warkah atau ucapan di dalam blog MIBK ini kerana sedang sibuk dengan kerja - kerja rumahnya.


PENGERTIAN MAAL HIJRAH.


Tak ramai orang - orang Islam yang menyambut Maal Hijrah.


Ada pula yang sanggup meneruskan perniagaan di hari yang mulia itu.


Sepatutnya, umat Islam di Malaysia haruslah mengambil berat tentang Maal Hijrah ini.


Maal Hijrah yang membawa maksud 'bersama Hijrah' ialah di mana tidak akan lagi ada Hijrah seperti yang dibuat oleh Rasullullah S.A.W.


Hijrah yang dibawa oleh Rasullullah S.A.W ialah berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.


Setiap tahun juga, ada saja lagu Maal Hijrah akan keluar, inilah lagunya yang selalu didengar di radio dan di kaca televisyen.


Lirik Nasyid Maal Hijrah

Satu Muharram detik permulaan
perkiraan tahun islam hijrah
perpindahan nabi dan umat islam
dari kota mekah ke kota madinah


atas keyakinan dan iman yang teguh
kaum muhajirin dan ansar bersatu
rela berkorban harta dan nyawa
demi menegakkan islam tercinta




hijrah itu pengorbanan
hijrah itu perjuangan
hijrah itu persaudaraan
hijrah membentuk perpaduan




oleh itu mari semua
kita sambut ma'al hijrah
tingkatkan semangat
tegakkan syiar islam
untuk sepanjang zaman



Sememangnya orang Islam bergembira di Tahun Baru Hijrah dengan berlagu lagu ini sahaja, tetapi tidak ramai yang menghayati apa makna sebenarnya itu Hijrah.


Hijrah ialah pengorbanan, Hijrah ialah perjuangan, Hijrah itu persaudaraan, Hijrah juga membentuk perpaduan, jadi sambutlah Maal Hijrah 1431 ini dengan semangat yang kental.


Tanpa Hijrah, siapalah kita ummat Islam pada masa kini.


Berbanding dengan tahun - tahun yang lain(seperti tahun Masihi, kalendar Cina, kalendar India dan sebagainya), Tahun Hijrah untuk ummat Islam adalah tahun yang unik, ini kerana tahun untuk orang - orang Islam diambil sempena dengan Hijrahnya Rasullullah S.A.W dari Makkah ke Madinah.


Tahun - tahun Masihi misalnya, diambil sempena dengan kelahiran Nabi Isa A.S.


Berbading tahun - tahun lain, tahun Islam sahaja yang berlainan iaitu bermula dengan Hijrah.


Sejak itulah tahun Hijrah wujud yang digunakan oleh orang - orang Islam sehingga ke hari ini, dan sejak itulah Islam sudah sempurna.










Hj Haziq Ahmad Zaki bin Mohamad Zulkipli Al-Wasli.

(KETUA BIRO DAKWAH MADRASAH ISLAMIAH BANDAR KUCHING)

Friday, December 11, 2009

Guantanamo 'Islamkan' Holdbrooks









NAMA Terry Holdbrooks, mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi. Seluruh dunia mengenali beliau sebaik sahaja kisahnya tersiar dalam majalah Newsweek keluaran Mac lalu.

Kisahnya berjaya menyingkapkan banyak lagi 'kejahatan' yang diciptakan oleh Amerika Syarikat (AS) walaupun atas nama pusat tahanan.

Kem Tahanan Tentera Teluk Guantanamo Cuba diwujudkan bagi menjadi pusat pengumpulan hasil buruan AS dalam gerakan Perang Terhadap Keganasan (War On Terror) setelah pertahanan negara itu diaibkan dengan tragedi 11 September 2001.

Namun kepada Holdbrooks, seluruh hidupnya berubah 360 darjah apabila penjara yang 'wajib' ditutup itu akhirnya menjadi saksi lafaz kalimah syahadah dengan penuh ketulusan hati yang suci bersih untuk menerima Islam.

Tidakkah sebagai pengawal penjara, Holdbrooks bertanggungjawab untuk menyeksa para tahanan yang hampir kesemuanya umat Islam, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya?

Seawal usia 19 tahun, pada musim panas tahun 2003, Holdbrooks melaporkan diri sebagai pengawal di Penjara Guantanamo itu. Usia mudanya diwarnai dengan kegemaran minum arak, mendengar muzik rock dan mencacahkan badan dengan segala macam tatu. Sebabnya, semua itu menjadi sebahagian kehidupan bagi mereka yang tidak mempercayai tuhan seperti anak muda ini!

Hanya setahun selepas itu, beliau menyebabkan banyak pihak terpana kehairanan, sekali gus memenangi hati dan menerima penghormatan daripada para tahanan apabila pada suatu malam yang hening, Holdbrooks memeluk Islam dengan kehadiran salah seorang tahanan yang menjadi mentornya selaku saksi.

Beliau yang kini lebih dikenali sebagai Mustafa Abdullah ketika ditemuramah oleh Newsweek memberikan penampilan yang cukup berbeza. Dengan mengenakan jubah panjang, berkopiah hitam, berjanggut tebal walaupun di bahagian kanan lengannya masih ketara tatu yang bertulis: By Demons Be Driven.

Mustafa yang dilahirkan di Arizona, AS, dibesarkan secara tidak sempurna apabila ibu bapanya berpisah ketika umurnya tujuh tahun.

Datuk dan neneknya yang dahulunya pengikut Hippies mengambil alih tanggungjawab sebagai orang tua kepada Mustafa.

Akibat tidak tahan dihimpit kemiskinan, di samping mempunyai keinginan yang kuat untuk menjenguk dunia yang lebih luas, akhirnya Mustafa menyertai pasukan tentera AS.

Beliau kemudiannya ditempatkan di 253rd Military Police Company bagi membantu kerja-kerja pentadbiran sebelum dihantar bertugas di penjara Guantanamo itu.

Sebelum dihantar ke sana, Mustafa mematuhi arahan mengikuti kursus dua minggu sebagai persediaan penting bagi menghadapi tugas dan suasana di penjara itu.

Kesemua petugas baru tersebut turut dibawa melawat ke tapak Ground Zero dan tidak sedikitpun dijelaskan mengenai Islam.

"Kami juga dikehendaki menyaksikan rakaman video kejadian 11/9 dan dihasut bahawa tahanan-tahanan Guantanamo yang bakal kami hadapi adalah paling teruk.

"Tahanan itu semua terdiri daripada pemandu Osama (ben Laden), tukang masak Osama dan pantang ada peluang semua mereka ini akan membunuh kamu, kata para pegawai tentera kepada kami," kata Mustafa.

Tanpa banyak soal, Mustafa hanya menelan apa sahaja doktrin-doktrin jahat itu. Namun setibanya beliau di penjara itu, pada hari pertama itu sahaja beliau terus dihurung pertanyaan.

"Ini apabila tahanan pertama yang saya temui hanyalah seorang budak berusia 16 tahun. Logikkah dalam usia semuda ini, budak itu dicap sebagai pengganas? Sedangkan budak ini tidak pernah kenal pun laut, malah lebih teruk lagi tidak tahu pun bahawa bumi ini adalah bulat," katanya.

Dalam hatinya Mustafa terus bergumpal dengan pelbagai pertanyaan soal kemungkinan anak itu mengetahui rencana dunia gagasan pemerintah AS bernama War on terror.

Di penjara itu, Mustafa menjalankan tugas-tugas seperti membersihkan kawasan, memungut sampah, memeriksa blok-blok tahanan bagi memastikan para tahanan tidak bertukar-tukar sebarang objek serta membawa tahanan disoal siasat di bangunan lain.

Namun tugas-tugas itu membolehkan Mustafa berbual-bual dengan para tahanan. Beliau pada masa itu tidak membataskan hubungan dengan sesiapa termasuk dengan para tahanan. Namun tidak dinafikan sikap sedemikian menyebabkan ada pihak yang kurang senang.

Beliau mengakui tidak mempunyai rasa hormat terhadap rakan-rakan sejawatan kerana mereka semua adalah kaki botol, kaki rokok, perkauman, terlalu taksub dan berfikiran sempit serta mematuhi segala arahan secara membuta tuli.

"Dalam tempoh beberapa bulan, saya tidak lagi bergaul dengan rakan-rakan setugas sehinggalah pada suatu hari ada yang datang mengugut.

"Holdbrooks, awak tahu apa yang akan kami lakukan hari ini? Kami akan pecahkan kepala seorang Taliban di depan kamu sebab kamu selalu simpati terhadap mereka dan kami sama sekali tidak suka dengan sikap kamu itu," kata seorang rakan sejawat Mustafa.

Di saat para pengawal di situ adalah kaki minum dan suka melihat gambar-gambar porno, Mustafa benar-benar ingin mengetahui bagaimana para tahanan di penjara yang bagai neraka dunia itu mampu bertahan dan sentiasa menghadiahkan senyuman terhadapnya.

"Saya langsung tidak mengenali Islam sehinggalah saya bertugas di penjara Guantanamo. Ia bagaikan satu kejutan budaya. Namun saya ingin belajar banyak perkara dan guru terbaik ketika itu adalah para tahanan itu sendiri.

Seronok

"Ini apabila saya banyak mengetahui mengenai politik, etika, moral dan mengenai kehidupan dan perbezaan budaya serta pelbagai lagi, sehinggakan kami mampu menghabiskan masa berjam-jam lamanya kerana seronok berbincang," kata Mustafa.

Pada mulanya sekadar ingin mengetahui, kini Mustafa menjadikan hari-harinya di penjara itu seperti berada di pusat pengajian dengan sekurang-kurangnya satu jam diperuntukkan untuk mempelajari mengenai Islam. Di samping beliau juga banyak belajar melalui laman sembang di Internet.

Di penjara itu, seorang tahanan yang dikenali sebagai 'Jeneral' yang berasal dari Maghribi, Ahmed Errachidi merupakan mentor kepada Mustafa. Ahmed Errachidi pernah menetap dan bertugas sebagai tukang masak di Britain selama 18 tahun.

'Jeneral' ditahan selama lima tahun di penjara itu hanya kerana beliau dikatakan pernah menjalani latihan ketenteraan Al-Qaeda. (Beliau kemudiannya dibebaskan setelah didapati tidak melakukan kesalahan).

"Saya dan Jeneral akan berbual berjam-jam lamanya, kami berbincang mengenai buku-buku yang dibaca, mengenai muzik, mengenai falsafah dan sehinggalah ke malam untuk kami berbicara mengenai agama pula," kata Mustafa.

Cukup enam bulan berada di penjara itu, Mustafa pada masa itu telah benar-benar bersedia. Pada 29 Disember 2003, dengan kehadiran 'Jeneral', beliau kemudiannya mengulangi dan melafazkan dua kalimah syahadah!

Maka pada tarikh itu mencatatkan seorang tentera AS yang diamanahkan mengawal tahanan yang kebanyakannya Muslim, akhirnya memeluk Islam.

Sejak itu, Mustafa berhenti minum arak, namun sukar baginya untuk menyempurnakan ibadat solat lima kali sehari semalam.

"Adalah sukar untuk saya mengerjakan solat tanpa rakan-rakan sejawat lain mengetahuinya kecuali saya selalu memberikan alasan saya hendak ke bilik air," jelasnya.

Namun hidup sebagai Islam kini lebih jauh menyeksakan Mustafa apabila beliau terus berhadapan dengan situasi-situasi tahanan-tahanan Islam yang diterus diseksa dengan pelbagai jenis dan tahap seksaan oleh para pegawai penjara.

"Telah menjadi tugas saya membawa para tahanan untuk disoal siasat dan menyaksikan sendiri mereka diseksa bagi memperoleh kononnya apa yang dikatakan sebagai maklumat.

"Saya melihat sendiri bagaimana tahanan yang diikat berjam-jam lamanya dengan kedudukan yang menakutkan kita melihatnya dalam sebuah bilik kecil yang sangat panas sehingga mencecah 50 hingga 60 darjah celsius," katanya.

Mustafa benar-benar tidak dapat menerima perbuatan kejam sesama manusia itu. Pada musim panas tahun berikutnya, iaitu pada 2004 Mustafa meninggalkan penjara itu dan dihentikan perkhidmatannya atas alasan menghadapi masalah kecelaruan personaliti yang teruk.

Sayangnya, Mustafa tidak mempunyai kekuatan dalaman bagi menghadapi segala macam yang berlaku ini. Apabila dipecat, beliau tenggelam punca dan tidak dapat menerima hakikat itu.

Beliau kembali kepada ketagihan arak sehingga perkahwinannya hancur dan hidupnya kembali berantakan.

"Semua ini akibat saya masih begitu diganggu mimpi-mimpi ngeri 'kehidupan' di penjara Guantanamo dan saya perlu mengambil masa sehingga tiga tahun lamanya untuk menghilangkan trauma Guantanamo daripada ingatan," katanya.

Kini beliau kembali semula kepada amalan dan ajaran Islam.

"Islam satu ajaran agama yang penuh disiplin, yang rejimennya merupakan satu kepercayaan yang teguh, yang menuntut segala usaha dan keyakinan yang kuat dan semua ini mungkin ditemui dalam dunia ketenteraan tetapi tidak sehebat sebagaimana yang ada dalam Islam," katanya.





















Laporan DLL: Pertembungan Pemikiran Islam di Malaysia



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, para sahabat baginda, para ulamak muktabar serta orang-orang yang menuruti jalannya sehinggalah Hari Kiamat. Syukur kepada Allah, diberikan kesempatan untuk menjadi salah seorang penonton rancangan ilmiah Di Luar Lingkungan (DLL) secara langsung di pentas studio di Angkasapuri RTM pada 28 Disember 2009 yang lepas. Saya telah menemani Pengerusi PERKEPISMA, Naib Yang DiPertua II PERKEPIS, sdr. Hishamudin bin Roslan. Ke udara pada pukul sepuluh malam, rancangan ini menyediakan santapan akal mengenai tajuk ‘Pertembungan Pemikiran Islam di Malaysia.’

Rancangan DLL dipengerusikan oleh seorang pengacara yang tidak asing lagi, iaitu sdr. Syed Munawar. Panel yang terlibat dalam perbincangan ini ialah Ustaz Uthman el Muhammady, Felo Kanan Institut Pemikiran dan Kebudayaan Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Prof. Madya Fakhruddin Mukhti, pensyarah Jabatan Usuluddin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).



Perbincangan DLL bertitik tolak kepada suasana masyarakat yang meresahkan; iaitu kemunculan individu-individu secara meluas di dunia maya yang mengeluarkan autoriti masing-masing, terutama dalam bidang agama. Perbahasan yang tidak kunjung hentinya yang telah menimbulkan polemik pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda menjadi perhatian DLL kali ini. Masalah yang timbul adalah golongan awam yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh juga terlibat dengan perbahasan yang tidak berpenghujung ini. Persoalan yang dibangkitkan, adakah polemik ini menguntungkan ataupun sebaliknya?

Keunikan rancangan ini adalah, saluran-saluran teknologi dimanfaatkan sebaik-baiknya. Penonton boleh memberikan respon tidak terhad kepada hadirin dalam studio sahaja, tetapi juga pandangan boleh disampaikan melalui panggilan telefon, emel dan Facebook. Dalam entri kali ini, mengutarakan isi perbincangan dan persoalan-persoalan yang dibangkitkan sepanjang rancangan. Terdapat juga soalan-soalan; terutama soalan daripada penonton tidak terjawab secara khusus. Tetapi keseluruhan rancangan amat memuaskan kerana respon hangat daripada penonton dijawab dengan saksama. Saya merumuskan kembali isi perbahasan. Saya berharap pembaca dapat memahami seperti yang dimaksudkan oleh para panel. Jika ada kesilapan, maka itu adalah berpunca daripada kelemahan saya dalam menghadam persoalan.



Soalan 1
Soalan pertama diajukan ialah berkenaan dengan masalah pertembungan pemikiran, terutama komuniti Islam di negara ini. Dr. Fakhruddin menjawab persoalan.


Beliau mengupas bahawa sudah beribu-ribu tahun sebenarnya sudah berlaku pertembungan pemikiran manusia. Perkara ini berlaku dalam keadaan tertentu. Dalam konteks masyarakat Islam pula, pemikiran membabitkan pegangan aliran akidah arus perdana yang merangkum konsep Tuhan, Nabi dan Rasul, akhlak dan nilai-nilai yang jelas.

Tetapi golongan terkemudian datang dengan dakwaan membawa perubahan untuk merubah arus perdana tersebut sebagai sesuatu yang kolot, tidak sesuai dengan nilai-nilai yang sepatutnya. Melainkan, hal ini dibincangkan oleh orang yang ada autoriti (ulama muktabar) yang menegur dan membahas secara beradab, bukan sebaliknya. Antara masalah yang dihadapi ialah apabila perbahasan tidak diikuti dengan disiplin intelektual yang sudah baku (masak, stabil) dalam tradisi keilmuan Islam.



Soalan 2
Persoalan kedua dilanjutkan dengan isu yang selanjutnya, iaitu masalah sekarang ialah polemik label melabel dengan istilah Wahabi. Apakah ulasan panel berkenaan hal ini? Ustaz Muhammad el-Muhammady menghuraikan.


Beliau mengulas bahawa polemik yang berlaku seharusnya dihadapi dengan berlapang dada. Umat dilarang untuk berbalah sehingga berlaku perpecahan. Bahkan, realiti yang berlaku ialah perpecahan kepada perpecahan yang sudah berlaku.

Kita sangat bertuah didokongi oleh ulil amri (pemimpin) yang menjaga keharmonian pegangan arus perdana. Kerana melalui polemik yang berpanjangan yang bisa menimbulkan perpecahan tidak akan berpenghujung.



Soalan 3
Beliau disoal oleh pengacara, adakah ada sesuatu pembaharuan oleh arus tajdid adalah paling sesuai ketika pegangan masyarakat sudah mulai longgar, dan golongan ini mengatakan “Inilah masanya tajdid?”


Ustaz Uthman menjawab bahawa rangkaian tajdid yang berlaku dalam sejarah adalah berdasarkan kemunculan tokoh-tokoh yang telah dimaklumkan dalam sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam mengatakan bahawa akan muncul di kalangan umatnya yang akan membaharui (menghidupkan ruh, semangat baru umat).

Ulas beliau lagi, bahawa mujaddid ini adalah di kalangan tokoh terkemuka dalam Islam seperti imam mazhab empat, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal. Antara lain adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, imam-imam lain seperti Imam Baqillani, Imam Abu Hassan Asya’ari (aliran akidah Asya’irah), Imam Ghazali dan sebagainya. Mereka inilah (tokoh mujaddid) yang telah menimbulkan kontribusi (sumbangan) yang tidak terhingga kepada umat Islam.

Beliau menyambung komentar beliau yang agak menarik, kata beliau, “Kalau mereka, kita akui. Mereka memang telah berjasa. Tetapi masalahnya ('mujaddid selebriti' zaman sekarang) yang mengungkit hal-hal sekadar qunut, talkin, wirid, apakah ini harus diakui sebagai tajdid sebenar?”



Soalan 4
Kemudian, studio menerima panggilan telefon. Pemanggil tersebut menanyakan pandangan panel berkenaan dengan apakah ukuran kebenaran sesuatu dakwaan itu? Kerana masyarakat kini lebih mudah menerima sesuatu yang tampak, agresif dan popular.


Dr. Fakhruddin menjawab bahawa masyarakat harus juga mengambil kayu ukur daripada mantiq (logik), tasawuf dan falsafah. Melalui jalan ini, seseorang akan dapat melihat apakah relevan idea yang dibentangkan di hadapan mereka. Misalan, jika ada pihak yang menyeru kepada memusuhi unsur sufi, maka tasawuf yang mengajarkan akhlak yang mulia juga akan dimusuhi. Ini bermakna, salah satu sumber yang mengajarkan akhlak mulia juga telah terhapus sekaligus. Adakah dengan memusuhi orang yang mengajarkan akhlak baik adalah jalan yang terbaik?



Tidak pernah pun dalam sejarah, bahawa seseorang mengaku ia mujaddid. Bahkan, seseorang dianggap mujaddid berdasarkan pengiktirafan masyarakat sumbangannya. Oleh yang demikian, dalam menyaring sesuatu pembawaan dakwaan itu, masyarakat harus mempertimbangkan dengan saksama. Sebagai contoh, adakah dengan semata-mata talkin, membaca Yaasin (seperti yang mereka perjuangkan) akan membawa kemunduran? Masyarakat perlu mengkaji perkara ini dengan saksama. Bahkan amalan yang baik dalam masyarakat hari ini menyatukan mereka. Masyarakat dibawa berkumpul dan bergotong-royong dalam pertemuan mereka. Jika kita abaikan aspek yang baik ini, bukankah satu nilai yang telah terpupuk akan diketepikan juga?

Soalan 5
Persoalan seterusnya diajukan oleh seorang lagi pemanggil. Soalan tersebut meminta panel meberikan pendapat, adakah kemungkinan (polemik yang sedia ada) terdapatnya dokongan daripada luar?


Ustaz Uthman menjawab bahawa kita harus melihat sesuatu tanpa terpengaruh dengan budaya selebriti (murahan). Sebaliknya, kita harus mencontohi budaya qudwatul hasanah (tauladan terbaik). Sebagai contoh kita ambil peribadi mulia daripada orang-orang yang siddiqin dan setara dengannya sepertimana termaktub dalam al-Quran, bukannya entiti selebriti yang memberi kesan sonsang kepada masyarakat.

Beliau menasihatkan agar masyarakat berwaspada dengan menguatkan ajaran arus perdana (ajaran yang telah tersedia pakai dan telah digunakan untuk mendidik masyarakat sekian lama). Seandainya kita berbeda pandangan, maka beradablah, bukannya seperti budaya koboi (yang bertindak semberono).



Soalan 6 & 7
Kemudian, terdapat soalan dikemukakan oleh penonton studio. Soalan tersebut ialah:

1.Adakah cukup sekadar umat Islam berpegang kepada nas (dalil) Quran dan Hadith yang sedia maksum sendangkan ulama ini terdedah kepada kelemahan pandangan manusiawi?

2.Berkenaan dengan adab ikhtilaf (adab berbeza pendapat), adakah golongan awam perlu terlibat dalam perbahasan sebegini ataupun di kalangan cendiakawan. Ini kerana menurut masyarakat, kita tidak tahu banyak perkara. Persoalannya, adakah perlu semua orang mengemukakan pandangan?


Dr. Fakhruddin menjawab bahawa merupakan satu kenyataan indah untuk kita umat ini kembali kepada Quran dan Hadith. Namun demikian, kedua-dua sumber tersebut dalam Bahasa Arab yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu seperti isti’azah, majaz dan lain-lain. Bagi orang Arab sekalipun, tidak semua mereka faham Bahasa Arab. Inikan pula kita. Ulama-ulama terdahulu misalan telah berhempas-pulas untuk mengistinbat (mengeluarkan) hukum untuk memudahkan pemahaman dan pengamalan masyarakat, salah satu kaedahnya ialah menggunakan aspek bahasa.

Malah terdapat masalah orang yang mempertikaikan berpegang dengan sesuatu mazhab ataupun memperlekehkan Imam Syafie. Seandainya beliau ditakdirkan tidak wujud dalam sejarah, maka kita sebagai orang awam setiap orang perlu bersusah-payah mencari hukum dengan mengambil kembali kepada Quran dan Hadith. Bukankah itu satu yang memenatkan, semua orang mencari hukum sendiri berdasarkan ilmu (cetek) yang ada? Belum tentu kefahaman mereka sama seperti orang-orang yang alim dan berautoriti di kalangan mereka untuk tujuan penetapan hukum ini.



Ya, memang benar terdapat kata-kata Imam Syafie yang mengatakan bahawa ‘Jika terdapat pendapat yang lebih kuat daripadaku, maka tinggalkanlah mazhabku.’ Ini adalah sebagai kenyataan tawaduk Imam Syafie sebagai seorang ulama yang mendapat didikan daripada ulama juga. Maksud beliau adalah jika pandangannya yang telah disaring, disemak dengan teliti itu juga terdapat pandangan yang lebih kuat, maka beliau menasihati untuk menggunakan pandangan yang lebih kuat daripadanya. Itu menunjukkan tawaduk beliau dalam menghormati pendapat para alim ulama yang lain.


Soalan 8

Dilontarkan lagi persoalan lain, iaitu adakah keterikatan kepada mazhab akan menjadikan seseorang ataupun masyarakat ini menjadi rigid (kaku)?


Ustaz Uthman menjawab bahawa mengikut mazhab ataupun erti kata taklid kepada mazhab bukanlah dimaksudkan dengan menurut buta (taklid buta) semata-mata. Beliau memetik seorang ulama Amerika, Syeikh Nuh Haa Mim Keller yang mengatakan bahawa bertaklid kepada mazhab adalah dengan makna ‘Following qualified scholarship’ ataupun mengikut kesarjanaan yang muktabar. Maksudnya ialah mengikut sesuatu aliran pemgangan secara berilmu dengan berpandukan ilmu. Beliau mengaitkan dengan ayat Quran ‘bertanyakan kepada ahlinya.’ Bertaklid dengan cara ini adalah sebagai jalan rahmat bagi orang yang mengikut nur mujthahid dengan cahaya keilmuan yang ada pada mereka. Mereka para mujtahid telah mencerahkan jalan untuk kita memahami agama Allah ini. Maka dengan itu timbullah ijmak para ulama untuk memutuskan sesuatu perkara yang terbaik untuk umat berpandukan ilmu mereka.




Kesimpulan


Masyarakat kini menjadi keliru kerana hakikatnya perkara yang sudah diselesaikan seolah-olah menjadi perkara baru. Ustaz Uthman berkali-kali menegaskan bahawa pentingnya ada pemerintah yang memelihara pegangan arus perdana yang didukung oleh ulama-ulama yang muktabar.

Sebagai misalan, amalan-amalan masyarakat telah disaring dan sudah dirujuk kepada ulama-ulama di Mesir pada tahun 1950-an dahulu. Masalah yang timbul ialah, perkara-perkara yang sudah diputuskan dan diamal sekian lama telah dibongkar kembali dengan alasan mahu membuat pembaharuan. Akhirnya, berlaku pertengkaran yang tidak berpenghujung dengan bid’ah-membid’ah, bahkan kafir-mengkafir. Tambahan lagi, Nabi Muhammad sallallahu alahi wasallam juga pernah bersabda bahawa umatnya tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Maka adakah semudah itu mereka menghukumkan sedemikian terhadap majoriti umat?

Berkenaan masalah perpecahan umat, harus ada pendirian yang mantap. Dek kerana hal remeh-temeh ini (pertelingkahan mengenai bid’ahnya doa qunut, wirid berjemaah, talkin, tahlil, membaca Yaasiin malam Jumaat, solat tarawih 8 atau 20 rakaat dan lain-lain) merupakan persoalan-persoalan yang sudah baku (dibincangkan, diselesaikan secara tuntas oleh para ulama terdahulu). Kita tidak sedar bahawa kita telah rugi masa dan tenaga serta menguntungkan musuh Islam. Setelah berkurun-kurun lamanya masyarakat telah berpegang dengan mazhab. Terbukti, bahawa kesatuan mazhab ini menyatukan masyarakat. Tetapi mereka pula sibuk untuk mempertikaikan.

Kesimpulannya ialah, kita kembali kepada ajaran arus perdana yang dipandang oleh umat terbesar. Ini kerana kita mempunyai teks yang boleh dirujuk (berpandukan mazhab). Seandainya kita beradab dalam berbeza pendapat, maka tidak akan timbul soal mengkafirkan orang lain. Segala perkara akan selesai apabila adanya asas ilmu dan menjaga adab hubungan sesama manusia.


Berjasa Kepada Masyarakat

Melaporkan
Azrul bin Jaini
Ahli Biasa PERKEPIS


Wednesday, December 2, 2009

Mujtahid Perlu Faham Manfaat dan Mudarat


Mujtahid perlu faham manfaat dan mudarat

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin



Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid

--------------------------------------------------------------------------------



MALAYSIA mengamalkan Mazhab Syafie dan ia telah diwartakan sebagai mazhab rasmi dalam hampir semua perlembagaan dan undang-undang negeri.

Justeru, majoriti umat Islam menggangap mereka mesti mengamalkan mazhab tersebut secara tegar tanpa bertolak ansur, walaupun ada keperluan munasabah yang membenarkan.

Namun, dalam beberapa aspek seperti ibadat haji dam zakat, kelonggaran untuk menerima pandangan lain telah diperakukan.

Dalam Islam, semua hukum itu yang terangkum dalam maqasid syariah atau matlamat syariah tertakluk kepada prinsip maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) bagi manusia.

Maqasid syariah adalah memelihara lima perkara iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan keturunan (maruah)

Konsep maslahah itu maksudnya, semua perbuatan manusia yang boleh membawa kebaikan hukumnya halal atau sebaliknya. Sementara apa yang membawa kepada keburukan hukumnya haram atau sebaliknya.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid berkata, berasaskan kepada prinsip inilah para fuqaha berpendapat, "bila ada maslahah di situ ada hukum".

Maksudnya, hukum selama-lamanya ditentukan oleh maslahah dan kepentingan hidup umat manusia.

Bagaimanapun, kata beliau, bukan semua fuqaha berpendirian sedemikian. Malah ada di antara mereka yang menolak konsep maqasid syariah secara total.

Bagi mereka, konsep ini memberi erti setiap hukum perlu ada asas yang boleh ditanya mengapa yang disebut al-ta'lil (menentukan alasan) dalam usul fiqh.

"Maka oleh kerana hukum itu dicipta oleh Allah ia akan bererti Allah boleh ditanya mengapa dan apa objektif serta tujuan mencipta hukum berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Ijtihad, Taklid dan Talfiq dari Perspektif Maqasid al-Syariah' dalam seminar Taklid, Ijtihad dan Talfiq: Skop, Amalan dan Batasan baru-baru ini.

Ia dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Seminar sehari setengah itu dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Objektif seminar antara lain adalah mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor-faktor yang mendorong kemunculan dan penggunaannya.

Ia juga bagi meningkatkan kefahaman tentang objektif undang-undang Islam dan menegaskan bahawa ia sesuai untuk semua keadaan, tempat dan zaman.

Sebanyak 11 kertas kerja dibentangkan termasuk pengalaman amalan talfiq dan taklid di Indonesia dan Brunei.

Seminar yang mendapat sambutan menggalakkan itu turut menarik penyertaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Menurut Mahmood Zuhdi, bagi merealisasikan maqasid syariah sebagai pendekatan dalam berijtihad seseorang mujtahid atau penyelidik perlu memahami dengan mendalam maksud manfaah (manfaat) dan madharrah (mudarat).

Katanya, mereka juga perlu objektif dalam membuat penilaian melalui merujuk keseluruhan hukum syarak dan kemudian merumuskan prinsip dalam bentuk yang menyeluruh.

"Ini supaya kemudiannya mudah diaplikasi apabila berhadapan dengan persoalan yang memerlukan penentuan sama ada perbuatan itu boleh dikelaskan kebaikan atau keburukan," jelas beliau.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, walaupun undang-undang syariah berpaksikan wahyu, banyak ruang diberi kepada manusia untuk menggunakan akal fikiran secara bebas bagi mencapai kesempurnaan dalam perundangan.

"Para fuqaha dan mufti perlu menjadi pelopor kepada penerokaan dan pengembangan hukum syarak agar sejajar dengan peredaran masa dan tempat," katanya yang bertugas sebagai Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Beberapa Manifestasi Penggunaan Ijtihad dan Talfiq Dalam Peruntukan-peruntukan Statut Moden di Malaysia'.

Menurut Sheikh Ghazali, dalam peruntukan undang-undang di Malaysia, ijtihad dan talfiq banyak digunakan dan penggunaannya agak meluas.

Sebagai contoh, dalam pembubaran perkahwinan. Kuasa mahkamah untuk membubarkan perkahwinan melalui fasakh kerana berlakunya dhirar terhadap isteri adalah satu bentuk talfiq kerana mengambil pandangan Mazhab Maliki.

"Sedangkan dalam Mazhab Syafie pembubaran perkahwinan melalui fasakh atas alasan dhirar tidak dibolehkan," jelas beliau.

Sheikh Ghazali turut menekankan kepentingan ijtihad dan talfiq dalam produk-produk perbankan Islam dan takaful.

Katanya, banyak produk telah diperkenalkan dalam sistem perbankan Islam dan takaful di Malaysia yang berdasarkan beberapa mazhab tanpa berpegang kepada Mazhab Syafie sahaja.

"Justeru, Ahli-ahli Majlis Penasihat Syariah di institusi perbankan boleh dianggap sebagai mujtahid yang bertanggungjawab melakukan ijtihad dengan mengkaji pandangan ulama terdahulu atau mencari pandangan yang terbaik daripada pandangan-pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Pegawai Istinbat Kanan Jabatan Mufti Brunei Darussalam, Awang Dennie Abdullah berkata, mengikut disiplin mazhab tidak dibolehkan dan dianggap tidak sah berfatwa dengan pendapat ulama-ulama dari mazhab lain.

Katanya, walaupun Mufti Mazhab Syafie tidak boleh berfatwa dengan mazhab lain, bukan semua persoalan semestinya berdasarkan fatwa Mazhab Syafie.

Menurut beliau, Ada beberapa perkara yang dikecualikan dalam keadaan tertentu termasuk ketika berpindah mazhab.

"Misalnya, dalam persoalan zakat ada tiga perkara yang boleh berfatwa dengan mazhab lain yakni Mazhab Hanafi.

"Yang pertama, persoalan memindahkan zakat. Kedua, memberi zakat seseorang kepada satu asnaf sahaja dan ketiga, memberi zakat seseorang kepada seorang saja," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk 'Taklid-Talfiq di Negara Brunei Darussalam: Keperluan dan Pengalaman'.

Awang Dennie berkata, persoalan taklid kepada pendapat ulama-ulama Mazhab Syafie di Brunei masih berlaku dan masih relevan serta diperlukan.

Namun, kata beliau, sesetengah perkara yang berbangkit ada juga yang tidak jelas kewujudan hukumnya dalam kajian dan ijtihad itu, seperti dalam persoalan muamalat.

"Jadi, ketika ini akan dibincangkan tentang hukumnya oleh beberapa orang tetapi tetap juga merujuk hasil kajian dan ijtihad daripada pelbagai sudut," katanya.